Kehidupan & kerjaya Zainal_Rashid_Ahmad

Beliau dilahirkan pada 30 Jun 1967 di Alor Setar, Kedah.[4] Pada usia 17 tahun, beliau berpindah ke Kuala Lumpur, dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 1991 di dalam bidang Penulisan Kreatif.[5]

Pada tahun 1990, beliau mula terserlah di dalam bidang penulisan apabila puisinya yang bertajuk "Genderang Perang" disiarkan di majalah Dewan Sastera. Walau bagaimanapun, minat beliau adalah lebih kepada penulisan cerpen dan telah menghasilkan lebih 150 cerpen setakat tahun 2015.[4] Beliau terkenal mengarang cerpen-cerpen yang menggabungkan sastera Melayu moden dan sastera Melayu lama.[6] Antara buku-buku beliau yang terkenal adalah Al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Hikayat Tanah Jauh (2015), dan Sekuntum Bunga Neraka (2019), kesemuanya merupakan kumpulan cerpen.[7] Cerpennya yang berjudul Cinta Ahmad Mutawakkil digunakan di dalam antologi teks komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).[4] Tulisannya banyak diterbit oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).[4] Zainal telah memenangi deretan anugerah sastera terutamanya Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Islam dan pelbagai anugerah peringkat kebangsaan.[6]

Beliau juga telah menjadi wartawan dan pernah bertugas di beberapa agensi media berbeza termasuk Utusan Melayu, Astro, NTV7 dan TV3, dan telah menerima anugerah-anugerah seperti Anugerah Dokumentari Terbaik (2004 & 2010) dan Anugerah Media Pertahanan 2009, dan pelbagai anugerah sebagai pengarah dan penulis skrip terbaik.[6]

Dokumentari di bumi Palestin dan Israel

Pada tahun 2005 dan 2008, Zainal bersama 5 orang wartawan dan jurugambar berjaya menyelinap masuk ke negara Israel dan Palestin dengan menyamar sebagai pelancong, lalu merakam satu dokumentari mengenai nasib rakyat Palestin di Tebing Barat selepas 40 tahun dijajah Israel. Dokumentari tersebut disiar di saluran TV3 di dalam program Majalah Tiga, dan kemudiannya juga di Astro Oasis di bawah tajuk Kembara Palestin. Beliau menjadi wartawan negara pertama yang berjaya merakam keadaan umat Islam di bumi Palestin dan di Israel.[2] Dokumentari ini telah memenangi Anugerah Dokumentari Terbaik 2010.[6]